header

Blog ini akan menampilkan kisah-kisah taubat yang diterima dari pembaca-pembaca melalui email, pengalaman penulis, dan lain-lain. Apa yang diceritakan adalah benar, cuma nama dan tempat dirahasiakan. Jika pembaca lain memiliki kisah-kisah taubat yang menarik, bisa dibagi bersama dengan pembaca lain untuk dijadikan panduan hidup.

Saturday, August 28, 2010

Di tinggalkan isteri solehah



Hari ini genaplah 7 hari umat islam berpuasa. Hari ini juga genaplah setahun isteriku Suraya meninggalkanku. Semenjak Suraya pergi,akulah yang menguruskan 7 anak-anakku. Mujurlah 4 daripadanya dah bekerja, seorang di universiti dan dua orang masih bersekolah. Memang penat menjaga dan mendidik anak-anak seorang diri. Akulah ibu dan akulah bapa. Semua urusan rumahtangga, aku yang uruskan dan dibantu oleh anak perempuan yang bersekolah menengah. Akulah yang mencari nafkah untuk mereka, memasak, membasuh dan akulah yang ke pasar. Dulu, aku tak pernah melakukan itu semua. Tugasku cuma mencari nafkah untuk anak-anak(mengajar kanak-kanak mengaji) dan dibantu sebanyak sedikit oleh Su. Suraya mengambil upah menjahit baju. Pendapatan kami bertambah apabila musim perayaan. Pada bula-bulan biasa, pendapatan kami hanya cukup-cukup makan sahaja. Namun aku masih bersyukur.

Namun kejadian malam itu tidak akan aku lupakan seumur hidupku. Suraya pergi meninggalkan aku. Pada mulanya aku sangkakan suraya hanya demam biasa saja. Kakinya masih mengayun mesin jahit. "Sudahlah Su, pergilah berehat", kataku sambil melirik ke arah Suraya. "Tak apalah bang, sikit saja lagi. Esok Mak Esah nak datang ambil baju-baju ni. Dapat lah sikit duit buat belanja buka budak-budak ni". Aku hanya mendiamkan diri. "Erm...bukankah Su tak sihat, kita ke klinik?", pelawaku. Dia menggeleng. "Ermm..abang jangan risau, Su dah makan pil tadi. Kejap lagi baik lah tu". Su menolak pelawaan ku ke klinik. Aku melihat jam dinding. Pukul 12.30 pagi. Aku terus masuk tidur. Aku benar-benar mengantuk.

Keesokan harinya, seperti biasa, aku bangunkan anak-anak untuk sahur. Aku menyuruh salah seorang anakku untuk mengejutkan Su untuk sahur. Tiba-tiba anakku meraung sekuatnya. Aku lantas meluru ke arahnya. Kulihat Badan Su kaku. Keeadaannya duduk merengkok seperti orang kesejukan dan kesakitan. Matanya separuh terbuka. Aku cepat-cepat cuba meluruskan kakinya. Aku menyuruh anak-anakku cepat memberitahu pada jiran-jiran. Hajjah Mina, Mak bedah dan beberapa jiran datang membantu meluruskan anggota tubuh Suraya. Hatiku benar-benar terkilan. Aku marahkan diriku. Kenapa aku tak berkeras membawa Su ke klinik? Kalaulah aku bertegas memaksa Su ke klinik , sudah tentu Su masih bernafas hingga ke hari ini. Aku terus-menerus memarahi diriku. Namun, apa yang telah terjadi adalah ketentuanNya. Siapalah aku mahu menghalang Takdir Nya?

Sehinggalah ke hari ini, aku masih belum menemui pengganti dirinya. Dialah isteriku yang solehah. Seingat aku, dia tidak pernah melangkah keluar rumah tanpa keizinanku. Dunianya hanya di rumah. Menguruskan rumah tangga. Tidak pernah ke pasar(Aku yang ke pasar). Dia hanya keluar jika ke klinik untuk membuat rawatan (kerana Su mempunyai sakit tulang). Tidak pernah ke rumah jiran untuk bersembang-sembang. Tidak pernah membuka aurat. Pintu rumahku sentiasa ditutup. Dia tidak akan menerima sebarang tetamu tanpa keizinanku terlebih dahulu. Tidak pernah bershopping. Selalunya, akulah yang membelikan baju untukknya. Dia akan pakai apa sahaja yang aku belikan untuknya. Hidupnya hanya Beribadah dan taat padaku.

Benarlah kata orang, kita akan rasa kehilangan apabila seseorang itu telah tiada. Kita tak akan menghargai mereka selagi mereka hidup. Itulah yang terjadi padaku.

Nukilan Rasa
Roslan Bakar (bukan nama sebenar)

Monday, August 16, 2010

Zina di pagi Ramadhan



Setiap kali Ramadhan tiba, setiap detik hatiku di hambat rasa pilu, sedih, dan berdosa pada Tuhan. Ini gara-gara aku telah melakukan sesuatu larangan Nya ketika umat islam semua sedang melaksanakan salah satu daripada rukun islam itu.

Kisahnya bermula ketika aku berhijrah di rumah makcikku di Perak ketika di bulan Ramadhan. Oleh kerana makcikku seorang yang agak sibuk dengan kerjanya, aku selalu sahaja bersendirian di rumah. Untuk mengelakkan rasa bosan, aku menyambut perkenalan seorang pemuda di sebelah rumah makcikku. Namanya Zaki. Zaki seorang yang baik dan pandai mengambil hatiku. Aku akui, aku tidak pernah bertemu dengan lelaki sepertinya. Cuma sayangnya, dia telah mempunyai kekasih hati. Ah, tak mengapalah. Aku cuma menganggapnya sebagai kawan baik sahaja. Selama aku tinggal bersama makcikku selama dua minggu, dialah satu-satunya sahabatku. Kami berkongsi cerita. Sehinggalah tanpa aku ketahui, dalam diam aku mula menyukainya.

Sehinggalah suatu hari di pertengahan Ramadhan, makcik ku terpaksa outstation. Tinggallah aku seorang diri di rumah. Zaki yang mengetahui hal itu menjemput aku bersahur bersamanya. Pada mulanya aku agak keberatan. Tapi setelah dipujuk, aku terpaksa bersetuju. Setelah berjanji, kami keluar bersahur bersama-sama di restoran 24 jam yang berdekatan. Setelah bersahur, kami berbual-bual dan lepas azan subuh aku minta diri untuk pulang. Bila tiba di hadapan rumah makcikku, dia minta izin tumpang membasuh muka. Dengan rasa berat hati aku membenarkan dia masuk ke rumah makcikku. Setelah dia masuk aku mengambil tempat di sofa. Setelah dia membasuh mukanya, dia tidak terus keluar. Dia menuju ke arahku. Aku mula kaget. Dia memegang tanganku. Dia melafazkan cinta. Aku terbuai dengan perasaanku yang sememangnya aku juga mencintai dia. Dan ketika 2 anak adam bersama, timbullah yang pihak ketiga yang tugasnya hanya menghanyutkan anak adam. Maka terjadilah zina di pagi Ramadhan. Sungguh aku amat kesal sekali.

Setelah beberapa hari kejadian tersebut, aku meminta izin makcikku pulang ke desa. Kukatakan padanya aku sudah rindu pada keluarga. Makcikku mengizinkan. Sesampai di kampungku, aku menelefon Zaki. Aku katakan padanya, aku mahu berkahwin dengannya. Dia memberi alasan dia perlu memutuskan hubungannya dengan kekasihnya terlebih dahulu sebelum menikahi aku. Aku bersetuju. Setelah sebulan aku menunggu, ternyata dia masih berhubung dengan kekasihnya. Lalu aku membuat helah. Aku katakan padanya aku telah hamil. Aku cuma mahukan reaksi darinya. Setelah dia mendapat tahu aku hamil, dia menyuruh aku menggugurkan kandungan itu. Katanya dia belum bersedia untuk bernikah denganku lagi. Dia menyuruhku menganggap kejadian tempoh hari sebagai memori indah yang datang bagai angin lalu. Di hujung talian itu aku menangis sepuasnya. Baru kutahu siapa dirinya. Dia cuma mahukan tubuhku sahaja. Cintanya untuk orang lain. Bodohnya aku dalam menilai dirinya. Kemudian aku memutuskan hubungan dengannya.

Bermula dari hari itu, aku mula mendekatkan diri pada Yang Esa. Untunglah aku tak hamil angkara dosa itu. Andai aku hamil, kasihan bayi itu. Kepada gadis-gadis yang telah membuat dosa, bertaubatlah. Janganlah serahkan jiwa ragamu kepada lelaki yang bukan suami kita yang sah. Jagalah dirimu. Sejahat-jahat lelaki, mereka pasti memilih wanita yang bertakwa.

amin
nukilan by email
Nur Hani (Bukan nama sebenar)

Monday, August 9, 2010

Hijrah Catriona Ross



Selepas Farah AF2 bertudung, kini tiba giliran Catriona Ross pula bertudung. Alhamdulillah. Nampaknya Catriona telah mendapat hidayah dari Tuhan. Bukan senang nak dapat hidayah. Seorang nenek tua belum tentu lagi bertudung selagi hidayah tidak menyinggah. Hidayah tidak boleh dijual beli. Walau didaki gunung yang tinggi, direnangi lautan yang dalam, dituruni lurah yang curam, hidayah milik Allah. Dia yang berhak menentukan siapakah yang ingin dihadiahkan hidayah ini. Beruntungnya insan-insan pilihan Tuhan yang terpilih menerima hidayah ini.

Berkongsi momen itu dengan Selebriti, pemilik nama sebenar Catriona Noorhayati Ross Bahrin Ross ini menjelaskan, sampai masanya dia bertudung dan niat murni itu dilaksanakan dengan ikhlas tanpa paksaan suami mahupun keluarga.


Tidak mampu menyembunyikan rasa sebak, Cat berkata, semuanya bermula apabila dia menemani sahabat karibnya ke sebuah butik tudung di KLCC pada 14 Julai lalu.


Tergerak hatinya mencuba satu tudung dan ketika melihat wajah di cermin, tiba-tiba terbit satu perasaan pelik hingga bergenang air mata. Sepantas kilat ditanggalkan tudung itu.


Dia yang dihenyak perasaan pilu, hiba dan syahdu kemudian berpusing ke arah temannya seraya spontan meluahkan hasrat mahu memakai tudung. Luahan itu bagaimanapun mengundang tawa sahabatnya kerana menyangka dia bergurau.


"Ketika memandu pulang ke rumah, saya menangis. Sukar untuk jelaskan perasaan saya ketika itu. Sebak, syahdu, hiba, semuanya bercampur-baur. Saya sedar perasaan pelik yang muncul tiba-tiba itu adalah hidayah dari Allah.


"Sepanjang perjalanan, saya tak henti-henti mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi. Terharu dan rasa istimewa apabila Allah buka pintu hati saya. Memang sebelum itu pernah terfikir untuk menutup aurat tetapi teragak-agak untuk melaksanakannya.


"Esoknya di rumah, saya gelisah dan rasa serba tak kena. Asyik terfikir untuk memakai tudung dan malamnya saya tidak boleh tidur. Kebetulan pula suami tiada di rumah kerana bertugas di luar Kuala Lumpur, jadi tiada tempat untuk saya mengadu," katanya sambil menghela nafas panjang.


Pagi Jumaat (16 Julai lalu), berjam-jam pelakon yang popular menerusi drama rantaian Sephia ini menyelongkar almari mencari hijab namun kecewa apabila yang ada hanya selendang.


Dia kemudian menghubungi teman karibnya untuk meminjam tudung. Terkejut dengan permintaan itu, temannya mengajak Cat ke butik untuk belikan beberapa helai tudung. Selesai membuat pembayaran, hijab yang dihadiahkan temannya itu terus disarungkan di kepala.

"Sejak itu saya terus bertudung. Tekad saya, sekali bertudung Insya-Allah saya akan kekal begitu hingga ke akhir hayat. Itu prinsip yang saya pegang sejak kecil.


"Apabila pulang ke rumah, suami menyambut saya di muka pintu dan dia terkejut dengan perubahan itu. Dia bertanya adakah saya benar-benar serius. Selepas berkongsi apa yang saya alami dalam tempoh 48 jam itu, dia ternyata gembira dengan keputusan saya.


"Banyak nikmat yang Allah beri kepada hamba-Nya dan apa yang saya mohon selama ini dalam doa dimakbulkan. Masih segar dalam ingatan, selepas terbabit dalam nahas jalan raya, saya tidak putus-putus berdoa supaya boleh berjalan semula dan doa itu Allah perkenankan.


"Kemudian, ada suara sumbang bercakap saya tak boleh hamil kerana mengalami kecederaan teruk dalam kemalangan itu tetapi Allah makbulkan doa saya. Alhamdulillah saya bunting pelamin. Jadi, nikmat Tuhan yang mana lagi nak saya dustakan? "Saya nekad bertudung kerana tidak mahu terus menerus buta hati. Jiwa saya bagai disiat-siat ketika mendapat hidayah dalam butik itu. Jauh di sudut hati, saya dapat rasakan itu adalah seru daripada Allah.

"Syukur, saat mula-mula pakai hijab hingga sekarang, hati saya tenang dan damai. Ada rasa bahagia yang tidak boleh dizahirkan dengan kata-kata. Ketenangan itu cuma Allah, saya dan teman sehijrah yang faham," kata anak jati Kota Bharu Kelantan ini yang menahan air mata daripada mengalir.


Perasaan gembira melakukan penghijrahan itu turut dikongsi bersama ibu tercinta. Sebaik mengetahui Cat bertudung, ibunya bergegas terbang ke Kuala Lumpur, malah turut dibelikan tudung untuk dihadiahkan kepada aktres itu.


"Ibu sanggup terbang dari Kelantan semata-mata mahu melihat perubahan saya. Terharu saya melihat riak gembira di wajah ibu dan berita itu turut dimaklumkan kepada bapa saya yang bertugas di Romania.


"Ramai juga teman terkejut dengan perubahan saya dan masing-masing bertanya apa menyebabkan saya tiba-tiba ubah imej. Terus-terang saya sangat bersyukur diberi hidayah dengan cara begini.


"Tak pernah saya rasa setenang ini, sesungguhnya saya antara manusia bertuah," kata Cat sambil mencium pipi montel buah hatinya, Sephia Rania Ross-Iddin.


Hadir berdua ke Balai Berita, Cat cekap menguruskan Rania. Lebih menarik, bayi comel berusia empat bulan setengah itu seakan-akan memahami komitmen ibunya yang perlu memberi pose terbaik di depan lensa kamera tidak banyak kerenah.


Berkongsi pengalaman sebagai ibu, Cat meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan cahaya mata yang mudah dijaga. Lumrah ibu beranak kecil, pasti kurang rehat dan tidur, namun berbeza dengannya apabila tidak berdepan situasi itu.


Zuriat hasil perkahwinannya dengan jejaka pilihan, Shahruddin Mokhtaruddin itu senang dibawa ke mana-mana, malah dari kecil dia yang menguruskan segala keperluan Rania. Jika terbabit dengan penggambaran, Rania ditinggalkan dengan mentua atau ibunya jika bertandang ke Kuala Lumpur.


"Mula-mula memang kekok, maklumlah tidak ada pengalaman, tetapi lama kelamaan saya dapat menyesuaikan diri. Rania anak yang baik dan bukan jenis suka merengek atau menangis.


"Saya gembira dapat melihat dia membesar depan mata. Setiap perkembangannya dapat saya saksikan dan itu momen yang sungguh bermakna.


"Daripada pemerhatian saya, Rania mudah mesra, sangat berdikari dan suka berkawan tetapi mudah terasa hati. Dialah permata hati saya dan suami," kata lulusan Bachelor Komunikasi Universiti Putra Malaysia ini.


Beralih perihal karier, Cat masih aktif berlakon, cuma seperti kebanyakan teman artis yang mempunyai anak kecil, aktiviti seninya sedikit terhad di mana dia hanya menerima tawaran penggambaran sekitar Kuala Lumpur.


Dia tidak ralat meskipun banyak tawaran terpaksa ditolak demi Rania. Ini kerana sebagai ibu dia mahu memberikan perhatian terbaik buat anaknya.


Serentak perubahan imejnya, ada suara nakal berbisik kononnya ruangnya untuk berkarya dalam persada lakonan kian terbatas, namun bagi Cat itu cuma omong kosong yang sedikitpun tidak berbekas di hati.


"Saya sedikit pun tak risau soal ini. Ada doa yang berbunyi: 'Ku mohon rezeki dari langit Kau turunkan, rezeki dari bumi Kau keluarkan, rezeki yang jauh Kau dekatkan, rezeki payah Kau permudahkan'. Saya pegang doa ini. Sesungguhnya rezeki itu datang daripada Allah dan sebagai manusia kita kena berusaha dan bertawakal.


"Tiada apa perlu saya takutkan dengan perubahan imej ini. Bukankah menutup aurat itu tuntutan agama. Jika kita perhatikan sudah ramai artis bertudung, tak ada masalah pun.


"Kalau benar kerana memakai tudung tawaran selepas ini mula berkurang, saya pasrah. Dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini pun saya tidak ralat kerana tawaran ada, cuma saya perlu lebih selektif kerana tidak sampai hati berjauhan dengan Rania. Jika penggambaran di lakukan sekitar Kuala Lumpur saya akan terima.


"Jika tidak terbabit dengan penggambaran, sambil uruskan Rania saya ambil tempahan biskut cip coklat dan sibuk dengan bisnes aksesori serta pin tudung. Alhamdulillah, sambutan menggalakkan, termasuk dari Kota Bharu.


"Seperti saya katakan tadi, dengan izin Allah rezeki ada di mana-mana saja dan datang dengan berbagai cara. Justeru, tidak perlu ragu-ragu bila ada suara sumbang cuba menakutkan kita," katanya.

Sumber:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hidayahdibutiktudung/Article/index_html

Friday, August 6, 2010

Ulat Resdung



Jika anda TAKUT jangan lihat video ini. Benarkah ulat/hama sebesar itu berada di dalam hidung pesakit resdung? Walaubagaimanapun, sesiapa yang telah mengalami simptom seperti sakit kepala, gatal-gatal, rambut gugur, hidung berair, bersin selalu, mulut berbau busuk,mata gatal-gatal,penglihatan kabur,telinga gatal,seluruh muka gatal,jerawat biasa atau batu,muka berbintik hitam,kahak banyak di kerongkong,gatal pada badan tertentu serta hidung berdarah, berkemungkinan seseorang itu telah mengalami resdung. Ketidak selesaan pada tubuh sedikit sebanyak telah membantutkan kerja-kerja seharian mereka.

Itulah yang kualami sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Sudah beberapa kali aku pergi mendapatkan rawatan doktor, apa yang doktor berikan hanyalah beberapa pil penahan sakit, selsema dan alahan. Bila pil habis, penyakit pun datang kembali. Spay? emm...ada gak doktor bagi, tapi aku ni seorang yang tak rajin men spray hidungku.....tu yang tak baik2. Bila kali terakhir aku bertemu doktor panel ku semula, doktor itu mengesyorkan aku merujuk ke pakar ENT, aku hanya mengiyakan. Kutahu, jika aku merujuk pada pakar, sudah tentu pihak hospital akan membedah hidungku.... Oh, Tidak. aku paling takut jika hidungku dibedah.

Kemudian, dengan ditemani suamiku, kami mula mencari perubatan alternatif. Akhirnya aku bertemu dengan salah seorang pengubat resdung tradisional, mak Badar di salah sebuah kawasan di daerah Johor Baharu. Dengan menggunakan minyak bijan dan biji terung, alhamdulillah... resdungku semakin pulih. Sakit kepala yang berdenyut-denyut pun hilang. Nampaknya, aku terpaksa menjalani 2 hingga 3 kali rawatan lagi untuk memastikan penyakitku benar-benar pulih, walaupun tak 100%. Semua ini atas keizinan Allah.

Pengajarannya, semasa aku diiuji kesakitan itu, barulah aku mengerti erti sebuah kesihatan. Dengan kesihatan yang baik itu, kita mampu beribadah. Tetapi, sekiranya Tuhan tarik balik kesihatan yang Di pinjamkan-Nya itu, bagaimanakah kita mahu menambahkan amalan lagi.... Beribadahlah ketika sihat. Bila tubuh tak berdaya, mungkin kita tak kuat untuk beribadah lagi....

p/s- Kepada sesiapa yang ingin berubat dengan Mak Badar (jika segala usaha telah dilakukan untuk mengubati resdung), carilah rumahnya di Lorong 4, dekat TNB johor. (No rumah tak ingat pulak) - sekadar membantu(tiada komisyen), hanya mereka yang pernah sakit resdung yang memahami mereka yang sakit resdung.....

Monday, August 2, 2010

Asyraf Juara Imam Muda Musim Pertama



Kemuncak Imam Muda telah berlalu, Asyraf Juara Imam Muda Musim Pertama. Tahniah diiucapkan. Sememangnya, program realiti seperti ini benar-benar menjadi. Ia bukan sahaja menjadi perhatian umat Islam di Malaysia, malahan menjadi tarikan di mata dunia. Ternyata umat manusia sekarang sudah jemu dengan program realiti yang berunsurkan hiburan semata-mata Seperti AF, Mentor dan lain-lain. Di sini juga membuktikan umat islam amat memerlukan artis yang berilmu, baik, berpengetahuan agama sebagai ikon dan idola mereka. Mereka tidak memerlukan lagi artis yang buruk akhlak, berpakaian tidak sopan dan artis yang kurang berpengetahuan agama. semoga program sebegini diperbanyakkan dan diteruskan agar generasi akan datang tidak terus hanyut dengan dunia glamor yang tidak ber penghujung. amin...

Followers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails