header
Blog ini akan menampilkan kisah-kisah taubat yang diterima dari pembaca-pembaca melalui email, pengalaman penulis, dan lain-lain. Apa yang diceritakan adalah benar, cuma nama dan tempat dirahasiakan. Jika pembaca lain memiliki kisah-kisah taubat yang menarik, bisa dibagi bersama dengan pembaca lain untuk dijadikan panduan hidup.
Monday, September 27, 2010
Wuduk Air Mineral 500 ml
Solat boleh mencegah kemungkaran. Orang yang solatnya ikhlas kepada Allah, akan sedaya upaya menjaga hubungannya dengan Allah. Berbeza dengan mereka yang hanya bersolat kerana menunjuk2, belum lagi solatnya dinilai Allah S.W.T. Ikhlas itu besar ertinya kepada mereka yang memahami. Tanpa ikhlas, amalan itu akan jadi debu.
Bercerita tentang solat, aku mempunyai seorang teman yang amat sederhana orangnya. Namanya Hani(bukan nama sebenarnya). Dia bukanlah pandai sangat dalam pelajaran. Keputusannya dalam SPM hanya cukup-cukup makan. Orangnya tidak selawa mana. Aku mengenalinya ketika kami sama-sama bekerja di sebuah kedai pakaian di ibu kota. Waktu rehat yang diberikan selama 45 minit digunakan untuk bersolat dan makan tengah hari.
Pada suatu hari, bekalan air telah terputus semasa kami hendak mengambil wuduk. Hasrat untuk menunaikan solat zohor terbantut. Kemudian, kami bercadang pergi makan dahulu dan akan kembali solat setelah makan tengah hari. Setelah makan tengah hari, kami kembali mengambil wuduk semula untuk menunaikan solat yang tergendala. Malangnya, bekalan air tempat kami bekerja belum pilih. Aku melihat wajah Hani. Dia seolah-olah amat kesal kerana belum menyempurnakan solat zohor sedangkan waktu rehat kami tinggal beberapa minit sahaja lagi. "Tak pe, kalo darurat qada' saja" kataku sambil mencuitnya. Mukanya merah padam menahan marah padaku.
Sampai di tempat kami bekerja, aku melihat dia bekerja dengan tidak tenang. Mungkin, solat yang belum dilaksanakannya membuatkannya tidak tenang. Sejam kemudian, dia meminta izin ke tandas. Katanya mahu melihat-lihat kalau bekalan air sudah pulih. Selang beberapa minit dia kembali dengan wajah mencuka. "Tayamum saja", ujarku mengusiknya lagi. "Pilihan terakhir" katanya membalas usikanku. Tiba-tiba seorang budak melintas di hadapan kami sambil membawa sebotol air mineral. Tiba-tiba, dia berlari keluar dari kedai tempat kami bekerja. "Kau jaga kedai sebentar, aku mahu ke kedai". Aku terpinga-pinga. Kebetulan Tuan kedai tempat kami bekerja sudah pulang.
Setelah 10 minit, dia pulang dengan wajah yang ceria. "Hai, ceria nampak! Macam baru balik jumpa pakwe je" usikku lagi. "Yelah... aku baru balik dari jumpa buah hatiku" katanya berseri2. Aku tergamam. "Betulkah?" tanyaku untuk kepastian. "Ya, kekasih yang perlu aku temui 5 kali sehari.." ujarnya bersahaja. Kali ini wajahnya serius. "Tapi, bagaimana kau mendapat air untuk mengambil wuduk? Bukankah bekalan air belum pulih?" Aku semakin kehairanan. Dia menunjukkan botol mineral 500 ml di tangannya. Aku menjadi malu. "Kalo kau mahu solat juga, ambillah. Aku sengaja membeli dua botol" ikhlas pelawaannya. "Tak mengapa, aku solat di rumah sahaja" kataku selamba kerana aku biasa qada' solat sahaja apabila berhadapan dengan situasi seperti ini. Kemudian kami meneruskan kerja masing-masing.
Peristiwa ini masih terpahat di hatiku. Peristiwa itulah yang membuat aku berubah. Kalau dulu aku solat di akhir waktu, kini aku sering solat di awal waktu.Kalau dulu aku selalu mengqada' solat, kini aku sentiasa cuba menjaga solatku. Setiap ketika aku pinta, Tuhan pelihara solatku. Aku amat sayang pada solatku.
Temanku Hani, tiada berita yang kuterima tentang dirinya. Kami berpisah apabila aku mendapat tawaran belajar di menara gading. Namun, setiap kali aku terpandangkan botol air mineral, aku pasti teringatkan Hani. Terima kasih sahabatku.
Nukilan
Zaharah Adam
Mersing, Johor
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment