header

Blog ini akan menampilkan kisah-kisah taubat yang diterima dari pembaca-pembaca melalui email, pengalaman penulis, dan lain-lain. Apa yang diceritakan adalah benar, cuma nama dan tempat dirahasiakan. Jika pembaca lain memiliki kisah-kisah taubat yang menarik, bisa dibagi bersama dengan pembaca lain untuk dijadikan panduan hidup.

Monday, June 28, 2010

Kesal ibu mentua dilayan buruk oleh bapa mentua



Perkahwinan kami sudah memasuki usia dua tahun namun apa yang ingin saya kongsi bukanlah berkaitan dengan rumah tangga kami sebaliknya bapa mentua. Selepas dua tahun berkahwin, pelbagai kisah buruk mengenai dirinya terkeluar. Sebelum ini, ibu mentua sakit tenat, setahun selepas kami berkahwin, dia pergi buat selama-lamanya. Namun selepas pengebumiannya, bermacam-macam cerita terbongkar. Mula-mulanya saya tidak percaya tetapi semakin ramai jiran berkata, saya mula berfikir, mungkin ada benarnya. Malah kawan baik kepada ibu mentua juga menceritakan hal yang sama.

Di mata suami, dia melihat ibu bapanya amat bahagia. Tidak ada cacat celanya. Tetapi hakikatnya, ibu mentua saya menanggung derita yang amat panjang. Ibu mentua disahkan mengidap penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak sekian lama tetapi dalam masa setahun ini, ibu mentua hanya mampu baring dan kadangkala dia meracau memanggil nama saya. Saya tahu ibu mentua amat sayangkan saya. Pernah sekali arwah mengadu yang bapa mentua selalu mengeluarkan perkataan “bodoh, bila kau nak mampus” dan macam-macam lagi tetapi saya tidak mempercayainya kerana menganggap arwah di bawah pengaruh ubat. Sampai ke hari ini saya menyesal kerana tidak mempercayainya.

Apabila arwah meninggal, suami menganjurkan majlis tahlil tiga hari berturut-turut. Dalam masa itulah, banyak cerita yang dikeluarkan mengenai perangai bapa mentua. Sahabat baik arwah pernah bercerita, tiga bulan sebelum arwah meninggal, bapa mentua saya banyak buat perangai, dihempas pinggan mangkuk ke arah arwah, memaki hamun, menghina dan mencaci ibu mentua saya. Perkataan kesat banyak digunakan dan selalu mengurung ibu mentua saya di dalam rumah. Dibiarkan ibu mentua saya keseorangan dan makan minumnya langsung tidak dijaga.

Bayangkan, untuk memberi ibu ubat pun dia sanggup menunggu suami saya balik. Bapa mentua selalu mengeluh kerana tiada wang untuk membawa arwah ke fisioterapi tetapi hakikatnya sekarang baru kami tahu, dia sebenarnya mempunyai banyak wang. Sebelum ini, suami banyak mengeluarkan belanja sehingga kami berhutang banyak. Semakin hari semakin saya membenci bapa mentua, mengingati cara dia melayan arwah, membuatkan saya sakit hati. Pernah bapa mentua meninggalkan ibu mentua di dalam rumah dan keluar dalam tempoh yang agak lama hinggalah arwah meninggal seorang diri di dalam rumah.

Semua mata menyaksikan alangkah teruknya perangai bapa mentua saya. Langsung tiada belas kasihan terhadap isteri yang banyak berkorban untuknya. Kerana sikapnya itulah, saya menjadi sangsi terhadap suami. Adakah nanti apabila saya sudah tua dan sakit, suami saya akan melayan saya begitu? Jika bapanya sanggup berbuat begitu mungkin juga suami saya akan melakukan perkara yang sama. Atas faktor itu juga hubungan saya semakin renggang dengan suami. Sekarang bapa mentua sudah berkahwin lain di kala kubur arwah isterinya masih merah. Saya pula semakin tidak berminat untuk balik ke rumahnya. Suami nyata memahami dan tidak pernah memaksa. Suami juga kecil hati dengan sikap bapanya, usahkan menjenguk kubur tetapi dia sudah seperti melupakan ibu mentua.

Saya selalu sebak dan menangis apabila melihat kubur arwah. Tidak terurus malah tiada siapa yang berminat melawatnya. Mengapa jadi begini? Apa salah ibu mentua saya? Mengapa arwah dilayan begitu? Walaupun saya hanya menantu tapi bagi saya ibu mentua amat penyayang dan mulia. Sepatutnya suami menjaganya dengan sebaik mungkin. Kadang-kadang saya terfikir, jika dijaga baik, mungkinkah usianya masih panjang? Al-fatihah untuk ibu mentua kesayangan.

sumber
Mingguan wanita

http://www.karangkraf.com.my/E-majalah/MingWanita/newMW/luahan.asp

No comments:

Post a Comment

Followers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails