header

Blog ini akan menampilkan kisah-kisah taubat yang diterima dari pembaca-pembaca melalui email, pengalaman penulis, dan lain-lain. Apa yang diceritakan adalah benar, cuma nama dan tempat dirahasiakan. Jika pembaca lain memiliki kisah-kisah taubat yang menarik, bisa dibagi bersama dengan pembaca lain untuk dijadikan panduan hidup.

Saturday, June 12, 2010

Malik noor Insaf



Artikel kali nie saya perolehi dari salah sebuah laman web iaitu http://beautifulnara.com/malek-noor-dan-cerita-keinsafannya/. Diharap cerita ini dapat memberikan sedikit keinsafan kepada kita yg bergelar manusia.


SETELAH lebih 10 tahun tidak berjumpa dengan Malek Noor, 53, ternyata jaguh bina badan Asia peringkat heavyweight sebanyak enam kali ini amat berbeza daripada dulu.
Kalau dulu, apabila berjumpa mulutnya becok tak henti-henti bercakap pelbagai topik yang melucukan. Tetapi pertemuan minggu lalu menampakkan sisi lain Malek.
Sifat lucu dan becoknya hilang tiba-tiba dan yang nyata Malek hari ini tidak sama dengan Malek ketika baru berlakon filem Ujang pada akhir tahun 1980-an.
Perbualan petang itu berkisar tentang aktivitinya hari ini. Selain menjalankan perniagaan membekal barangan fitness di bawah syarikatnya Sportec’s Divemate Sdn. Bhd. Malek juga berlakon dan kini sedang menjalani penggambaran drama Damak dengan memegang watak Tok Guru.

Perbualan yang rancak petang itu, tiba-tiba menjadi hening seketika apabila Malek membuka rahsia hidupnya yang selama ini dipendam tanpa pengetahuan sesiapa.

“Dalam hidup saya hari ini, sebenarnya saya hanya mencari satu sahaja iaitu keredaan Allah. Walau apa juga yang saya lakukan untuk hidup, kejujuran adalah penting.
“Setiap waktu dan ketika saya sentiasa berdoa kepada Allah semoga menerima ibadat saya, ampunkan dosa saya dan semoga Allah tetapkan iman saya dan menjadikan saya manusia yang soleh,” kata Malek dengan suara sebak.
Siapa sangka, seorang jaguh bina badan yang nampak gagah dan perkasa tiba-tiba menjadi seorang yang boleh dikatakan ‘lembik’ tiba-tiba.
Di satu sudut ruang coffee house di sebuah hotel di pinggir kota, Malek yang mulanya bersemangat tiba-tiba menangis menceritakan dosa-dosa yang telah dilakukan sebelum ini.

Dengan suara sebak dan mata berkaca, Malek Noor bercerita:
“Saya terlalu banyak buat dosa. Saya betul-betul insaf sekarang. Setiap saat dan ketika sentiasa berdoa semoga Allah mengampunkan dosa-dosa saya.
“Dulu saya jahat. Saya tidak ingat mati tapi…kini saya betul-betul insaf. Kini setiap waktu walau sesibuk mana pun saya akan hadkan sekurang-kurangya 10 minit untuk menunaikan solat.
“Saya terlalu banyak buat dosa. Saya makan dan minum benda-benda haram. Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya takut, saya taubat dan saya menyesal.
“Andai waktu boleh berputar, saya ingin kembali zaman kanak-kanak. menjalankan kewajipan sebagai seorang Muslim yang sejati,” luahnya.

ZAMAN KANAK_KANAK

Mungkin ramai yang tidak tahu, ketika zaman kanak-kanak lagi Malek merupakan anak yang susah hendak berpuasa. Kalau berpuasa pun cuma di depan keluarga. Di belakang, Malek curi-curi makan dan minum. Tetapi itu di zaman kanak-kanak, apa yang dibuat mungkin manis didengar.

Bukan itu sahaja, malah sejak berusia 12 tahun dan sehingga umur meningkat 46 tahun, sebenarnya Malek tidak pernah berpuasa, apa lagi menunaikan solat lima waktu sehari.
“Saya lupa pada tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Saya tak sembahyang, saya tak berpuasa. Kesibukan saya merantau di Amerika dan Hong Kong selama lebih 30 tahun mengumpul harta kekayaan membuatkan saya lalai.
“Ya Allah betapa besarnya dosa saya. Saya tidak pernah mensyukuri nikmat yang Allah berikan. Apa yang ada dalam fikiran saya hanya mencari harta dan nama.

“Sehinggalah suatu hari pada tahun 2002 semuanya berlaku tanpa saya duga. Ketika itu saya dengan berseluar pendek berdiri di Penthouse saya berdepan dengan bangunan KLCC.

“Tiba-tiba saya terdengar azan sayup dari masjid berhampiran dan meresap ke jiwa saya. Saat itu saya jadi tak tentu arah. Saya masuk ke rumah dan berpusing-pusing entah berapa kali dan saya tak tahu apa yang saya cari.
“Selepas berpusing-pusing macam orang gila, satu jam saya tak bertenaga. Saya menangis dan terus menangis. Tiba-tiba saya teringat sesuatu dan terus berwuduk kemudian menunaikan solat Maghrib. Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli pelbagai kitab mengenai Islam dan saya turut membeli sebuah al-Quran,” cerita Malek.

Bagi Malek, walaupun keinsafan dan kesedaran itu datang ketika usianya 46 tahun, dia tetap bersyukur kerana tahu Allah masih sayangkannya. “Malam selepas saya bersolat taubat, saya bermimpi didatangi arwah ibu, Jariah Ahmad yang menaburkan bunga emas pada saya.

“Selepas peristiwa itu saya pergi semula ke Hong Kong tetapi bukan untuk menetap di sana. Sebaliknya saya uruskan pemindahan syer perniagaan KK Design dengan rakan kongsi sebab saya memang tidak mahu menetap di sana.
“Ketika itu saya sudah membuat keputusan, saya mahu menetap di Malaysia untuk mencari seorang Muslim yang soleh. Bukan itu sahaja, malah saya mahu menjejaki akar umbi budaya Melayu yang telah lama saya lupakan.

“Setelah semuanya selesai, sejak 2006 saya terus menetap di KL dan tidak lagi ke Hong Kong. Kini saya benar-benar merasakan hidup ini amat bahagia dan tenang.
“Dalam kotak fikiran saya, hanya mahu melakukan suruhan Allah dan berbakti kepada masyarakat. Saya tidak sanggup lagi hidup bergelumang dosa dan noda.

“Cukuplah apa yang saya dah lakukan selama ini. Saya benar-benar insaf. Sejak itulah semua piala yang saya menang sebagai Mr. Asia saya buang.
“Dulu rumah saya penuh dengan patung-patung, tapi…semua saya dah buang. Kini rumah saya hanya dihiasi ayat-ayat suci al-Quran.
“Saya amat bersyukur kepada Allah kerana sejak saya bertaubat, sudah tiga kali saya khatam membaca al-Quran. Bukan itu sahaja, malah sejak tahun 2006 saya sudah menunaikan puasa enam, syukur Alhamdulillah,” kata Malek.

Kini kata Malek, walau apapun yang dilakukan oleh kawan-kawannya beliau tetap bersabar. Malah ada kawan yang meminjam duitnya dalam jumlah yang begitu banyak dan tidak mahu membayar semula, dia tidak pedulikan semua itu.

“Sekarang saya benar-benar reda dengan apa yang berlaku. Sama ada dia mahu bayar atau tidak, saya halalkan kerana bagi saya semua itu hanya harta dunia.

“Kini hidup saya mencari keredaan Allah. Insya-Allah saya akan tunaikan umrah tidak lama lagi dan jika diizinkan saya juga mahu menunaikan haji tahun ini,” Malek menyambung cerita.

Menurut Malek, semua yang dilakukan kerana sedar Allah benar-benar sayangkannya dan menerima taubatnya.

Bukan itu sahaja, malah mimpi berjumpa arwah ibunya yang memimpinnya masuk ke Masjidil Haram dan terus sampai di depan Kaabah benar-benar menggamit hati dan nalurinya untuk ke sana.
“Selepas saya menunaikan rukun Islam yang kelima, jika ada jodoh saya mahu berumah tangga dan membina keluarga bahagia yang hidup berlandaskan Islam.

“Penghijrahan saya ini bukan sahaja memberi kesan kepada saya, malah adik beradik yang lain juga gembira. Sebab itu saya nasihatkan anak-anak saudara saya kalau buat jahat pun biarlah ada ruang untuk kita bertaubat di hati ini,” kata Malek yang juga pernah membintangi filem Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan yang terakhir Sahabat pada tahun 1999.

Sumber
http://beautifulnara.com/malek-noor-dan-cerita-keinsafannya/

Thursday, June 10, 2010

Cerai Di Malam Pertama



(sekadar gambar hiasan)

Kisah yang akan dipaparkan ini merupakan kisah yang telah berlaku hampir 5 tahun yang lalu. Seseorang telah meminangku. Ibu menunjukkan fotonya. Kata ibu umur pemuda itu baru menjangkau 35 tahun. Aku melihat foto itu, kemudian aku mencampaknya ke atas katil. Aku tak mahu kahwin lagi. Getus hatiku. Namun atas pujukan ibu, akhirnya aku bersetuju berkahwin dengan pemuda itu. Sejak menerima lamarannya, aku tidak pernah bertemu dengan tunanganku. Sehinggalah di hari persandingan, aku memandang bakal suamiku dari kejauhan. Mukanya yang berkedut-kedut. Wajahnya seakan wajah orang tua. Aku ingin turun dari pelamin dan kembali ke bilik. Tetapi ditegah oleh Mak Andam. Aku hanya mendiamkan diri. Namun di dalam hatiku, aku menjeruk rasa. Kenapa ibu tergamak mengahwinkan aku dengan seorang yang sudah tua. Setitis air mata jatuh di pipi. Aku rasa diri ini tertipu. Bukan aku membenci dia, tetapi aku marah pada orang sekeliling yang menipuku.

Setelah tetamu pulang, suamiku masuk ke kamarku. Aku hanya merenungnya dari birai katil. Dia tersengih-sengih. Mukaku merah padam. Kemudian dengan tak semena-mena, aku meluru ke almariku. Aku keluarkan semua baju-bajunya. Aku humbankan ke atas lantai. Dia nampak terkejut. Ibu dan suamiku datang menenangkanku. Aku menjerit-jerit histeria. Dengan tak sengaja, aku menendang suamiku. Dia jatuh tersungkur. Pada malam itu juga kami bersengketa. Aku minta dilepaskan. Aku tak sanggup menjadi isterinya. Semua orang terkedu. Ibu memujukku. Kata ibu, aku tak sepatutnya berkelakuan seperti itu. Ibu juga meminta maaf padaku. Kata ibu, ibu hanya mahu melihat aku senang di sampingnya. Aku tahu ibu hanya melihat harta yang ada pada suamiku. Namun aku enggan mengalah. Aku menjadi benci pada sebuah perkahwinan. Kenapa mereka sanggup membohongiku. Akhirnya, aku dilepaskan juga. Cuma aku perlu membayar pampasan pada suamiku. Jadilah aku janda berhias.

Kisah Adira zakaria
Teluk Intan

Monday, May 24, 2010

Pencuri Itu Datang Kembali




Kisah ini terjadi kira-kira lima tahun yang lalu. Ketika itu aku membuka sebuah kedai pakaian siap. Suatu petang, kedaiku dikunjungi seorang gadis. Gadis itu begitu cerewet. Dia mencuba bajuku hampir dua puluh helai. Aku benar-benar letih melayannya. Kemudian dia meminta aku mengambil baju yang tergantung di hadapan. Aku terpaksa mengikut kehendaknya, ini kerana aku perlu menjaga hati customer. Setelah mencuba baju yang terakhir, akhirnya dia memutuskan untuk tidak membeli sebarang pakaian dari kedaiku. Ummp...penatnya. Em, mungkin bukan rezeki ku lagi. Aku ke meja kaunter untuk mengambil kunci kereta. Tiba-tiba, mataku terbeliak. Duit lapan ribu yang kuletakkan di dalam laci sudah tiada. Aku mencari di laci yang lain pula. Tiada. Aku membongkah seluruh kedaiku. Mustahil ! Bagaimana duit yang baru ku simpan itu hilang dengan tiba-tiba? Tiba-tiba aku teringatkan pelanggan tadi. Mungkin pelanggan tadi sudah mencuri wang itu. Aku keluar meninjau-ninjau customer tadi. Aku berdoa semoga dia belum jauh dari kedaiku. Tapi hampa. Aku menangis.

Aku memberitahu perkara ini pada suamiku. Dia nampak terkejut. Dia menanyakan watak customer itu. Kukatakan orangnya hitam manis, agak rendah dan usianya dalam lingkungan awal dua puluhan. Dia mencari gadis itu di bandar kami. Akhirnya dia kembali dengan wajah muram. Sudahla...mungkin bukan rezeki kita. Pujuknya.

Sejak peristiwa itu, dia bayak bermunajat pada Tuhan. Hampir setiap malam dia membaca surah Yassin. Suatu petang, aku lihat gadis itu berlegar-legar di hadapan kedai ku. Aku lantas memberiahu suamiku. Setelah pasti dialah orangnya yang mengambil wangku, kami terus menahannya. Pada mulanya, dia cuba melarikan diri. Tapi, dengan pertolongan jiran-jiran, gadis itu tertangkap juga. Gadis itu di bawa ke balai polis.

Di balai polis, dia disoal siasat. Akhirnya dia mengaku dialah yang mengambil wangku. Polis itu bertanya lagi, "setelah awak mengambil wang itu, kenapa awak datang semula ke kedai itu?", dia diam. kemudia dia menjawab "saya pun tak tahu, kenapa hati saya meronta-ronta ke kedai itu semula". Semua orang kaget mendengar jawapannya. Katanya, dia telah menggunakan wangku untuk bercuti bersama-sama temannya. Katanya lagi dia baru sahaja bernikah 3 bulan dengan seorang yang berjawatan tinggi. Dia melakukan perbuatan mencuri adalah kerana hobi. Dia sudah terbiasa dengan mencuri. Sehari tidak dapat mencuri, hatinya tidak tenang. Walaupun hakikatnya dia boleh memperoleh barang tersebut dengan membeli. Dia juga sudah melakukan perbuatan mencuri ini beberapa kali termasuklah di kedai emas, pasaraya dan kedai serbaneka.MasyaAllah.

Kemudian polis menghubungi suaminya. Kemudian suaminya hadir untuk membantu siasatan polis. Suaminya amat terkejut atas penahanannya. Dia menawarkan kami untuk selesai diluar balai polis. Namun suamiku tidak bersetuju. Tujuan kami adalah untuk memberi pengajaran kepada isterinya supaya tiada lagi yang jadi mangsa isterinya.

Walaupun kejadian ini telah 5 tahun berlalu, namun ia masih segar diingatanku. Semoga gadis itu telah insaf dan menjadi muslimah yang sejati. amin...

Nukilan Seri Hussin
Marang

Sunday, May 23, 2010

Utusan Seorang Sahabat



Ucapan di bawah merupakan utusan surat dari seorang sahabat pena kepada sahabatnya. Renungkanlah...

Salam
16-04-2000

Ke minda saudari muslimah yang masih memikir-mikir bilakah akan dapat menatapi warkah nan secebis ini. Ha.. ini dia sudah sampai, bersama doa dan harapan agar hidupmu diberkati selalu. Saudara disini, alhamdulillah, telah pun menyambut hari asyura' dengan seadanya.

Akal manusia dibahagi tiga. Pertamanya, akal yang memikir tentang dunia semata-mata, melebihkan harta daripada ibadat, maka akal ini akal yang paling rendah. Keduanya, akal yang memikir tentang akhirat, melebihkan ibadah daripada harta, tahu akan dirinya akan mati dan bersiap untuk menghadapinya, maka akal ini akal yang sederhana. Akal yang paling tinggi dan mulia ialah akal yang ketiga iaitulah akal yang memikir tentang Tuhan dan tahu akan dia hanya hamba dan mengabdikan seluruh hidupnya kepada Tuhannya. Bukan berfikir tentang zat Tuhan, tetapi berfikir tentang kebesaran dan keesaan tuhan yang menjadikan dan mentadbirkan sekelian alam.

Bagaimana alam yang begitu kompleks dan halus ciptaannya lagi seni dan indah kejadiannya? Tentu, bila kita bertanya kepada mereka, siapakah kamu? Jawabnya kami ini ciptaan Allah. Kami tidak menciptakan diri kami sendiri. Kami berserah kepada Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Berkuasa. Benarlah akan kata-kata "andaikata segala sesuatu itu boleh berbicara denganmu, nescaya mereka akan menyerumu kepada Tuhanmu". tidakkah begitu? Betu? Betullah tu....

Saya suka berfikir tentang alam, falsafah alam, manusia dan kerenahnya, Tuhan dan segala ciptaanNya, mencari jalan kebaikan yang berpanjangan dan seterusnya menutup pintu-pintu maksiat kepadaNya, seboleh-bolehnya.

Saya juga suka membaca Al-qur'an dan mencari hikmah dan maani di sebalik ayat-ayatnya yang suci itu. Menghafal hadis dan mendalami sirah dan sunnah Rasulullah s.a.w. Membaca HARAKAH adalah minat saya. Selain daripada itu semua saya tak baca dan tidak berminat untuk membaca.

Pada firasatku, anda bakal menjadi seorang pendidik. Oleh itu, didiklah anak buahmu agar mereka mencintai Allah, Rasulullah dan Ulama' Pewaris Nabi. Ajarilah mereka dengan panduan Al-Qur'an dan siramilah mereka dengan cahaya hadis nabi akhir zaman. Semoga kita sama-sama mendapat berkat hidup dan bahagia di Syurga nanti...

sekianlah dahulu buat kali ini.
Permisi.


dari sahabat penamu kepada saudari muslimah Siti Aqilah
April 2000

Thursday, May 20, 2010

Ku Racun Saudaraku Kerana Harta Itu




Ayah masih menatap wajah abang. Abang menangis. Nampaknya abang tidak bersetuju menerima usul ayah. Hatiku bertambah sakit. Gilakah ayah. Ayah tidak adil membahagikan hartanya. Kata ayah, ayah memberikan harta warisan yang lebih kepada abang kerana abang yang akan menjagaku. Ahh... satu alasan yang aku tak boleh terima.

Setelah sebulan peristiwa itu, ayah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ayah menderita sakit tua. Setelah semua urusan pengkebumian selesai, kami membahagi-bahagikan harta warisan yang ayah tinggalkan. Seperti yang diduga, aku hanya mendapat sepertiga daripada harta ayah. Selebihnya, harta tersebut menjadi milik abangku. Aku merasakan wasiat ayah itu sungguh tidak adil. Semenjak itu aku menjadi seorang pendendam. Aku mula benci kepada abangku sendiri.

Apabila perasaan benci mula berkumpul, lahirlah perasaan dendam. Tekadku, aku akan membalas segala rasa sakit hatiku ini. Aku pergi menemui Pak Hamid, seorang dukun di kampung sebelah. Setelah menceritakan apa yang terjadi, Pak Hamid bersedia menolongku. Dia akan menunaikan apa saja permintaanku. Aku mula terfikir-fikir. Apa yang perlu aku lakukan terhadap abangku? Setelah berfikir, aku memutuskan agar abangku tidak boleh makan. Kemudian, dia menanyakan penawarnya. Adakah aku mahu membuang penawarnya ke dalam laut atau tanam ke dalam tanah saja? Menurutnya, jika menanam penawar itu, abangku bisa sembuh tapi sekiranya penawar itu dibuang ke laut, abangku akan menderita selama-lamanya. aku memilih penawar dibuang ke dalam laut. Baru puas hatiku. Setelah beurusan dengan Pak Hamid, aku segera ke rumah abangku.

Setibanya di sana, aku disambut baik oleh abangku. Mungkin aku mahu memulihkan hubungan kami,fikirnya. Dia menjamuku dengan makan malam. Tanpa disedari, aku telah berjaya memasukkan serbuk yang diberikan oleh Pak Hamid sebentar tadi ke dalam hidangan abangku. Malam itu kami benar-benar menikmati hidangan makan malam dengan penuh senda gurau. Sebentar lagi, abang akan rasakan pembalasannya. Ini adalah makan malamnya yang terakhir. Aku ketawa di dalam hati.

Setelah beberapa hari kejadian itu berlaku, kakak iparku menelefonku memberitahu keadaan abangku yang tidak boleh membuka mulutnya. Menurut kakak iparku, sudah dua hari juga abangku tidak menjamah makanan kecuali minum minuman melalui straw. Aku berpura-pura terkejut. Tetapi hakikatnya, aku bersa sangat gembira kerana usahaku berhasil. Kakak iparku memintaku menemaninya membawa abang ke hospital. Aku menurut saja.

Di hospital,doktor tidak berjaya menemukan sebarang penyakit abang. Kata doktor, abang cuma stress berikutan kematian ayah. Itu yang menyebabkan dia tak mahu makan. Kemudian abang dibawa pulang. Kakak iparku membuatkan bubur dan membiarkan abang menyedut bubur cair itu dari straw. Itulah saja yang membolehkan abang meneruskan hidupnya. Abang juga tidak boleh berbicara. Dia seolah-olah seperti orang yang kebingungan.

Kemudian, kakak iparku membawa abang berubat secara tradisional pula. Tetapi tiada seorang pun pakar pengubat tradisional yang boleh mengubati abang. Kata mereka, abang disihir. Dari sehari ke sehari, keadaan abang semakin lemah. Badannya semakin kurus dan tak bermaya. Kulitnya pula penuh dengan kudis dan nanah. Sudah beribu wang yang dibelanjakan untuk mengubat abang.

Aku menjadi sedih melihat keadaan abangku. Seribu penyesalan mula menerpaku. Setitis airmata mengalir di pipiku. Aku melutut di kaki abangku sambil diperhatikan kakak iparku. Aku memohon kemaafan darinya. Aku mengaku segala kesalahanku. Aku tewas dengan bisikan hatiku. Aku terlalu mementingkan diri dan ego dengan keputusanku. Kakak iparku benar-benar terkejut. Dia tidak menyangka bahawa selama ini , akulah yang menjadi penyebabnya. Dia menangis. Aku berjanji akan mencari penawar penyakit abangku.

Keesokannya, aku membawa abangku menemui Pak Hamid. Katanya, aku telah membuang penawarnya ke dalam laut. Maka , tiada penawar untuk penyakit abangku.
Aku meraung. Kenapa aku begitu bodoh menurut kata hatiku ketika itu tanpa memikirkan nasib abangku??? Aku menangis sepuasnya meratap nasib abangku....

Semakin hari, keadaan abang semakin parah. Sehinggalah suatu ketika, apabila jasadnya tidak mampu lagi bertahan, dia kembali menghadap Tuhan. Akulah orang yang paling sedih sekali. Sehingga hari ini, aku masih lagi menangisi nasib abangku. Aku rasa amat berdosa. Aku tidak akan memaafkan diriku ini. Oh abang! Ampuni adikmu ini.


Seperti yang diceritakan
seseorang
pengalaman teman-temannya

Followers

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails